Tuesday, June 21, 2011

Cara-cara memupuk amalan penyimpanan wang

Amalan menyimpan wang bolehlah dikaitkan sebagai sikap suka menabung dalam kalangan masyarakat moden. Wang dianggap oleh masyarakat sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan kejayaan kehidupan seseorang itu. Individu yang mempunyai simpanan wang yang cukup pasti akan menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan sikap menyimpan wang ini menjadi satu budaya kita yang berakar umbi dalam jiwa masyarakat.

Langkah awal ialah kerajaan perlulah mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Dalam kempen ini dijelaskan cara-cara menyimpan wang, faedahnya dan dirangka dalam satu bentuk yang mudah untuk difahami oleh remaja kita semua. Maka, kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahagakan kesedaran sejati itu.

Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka sebagai pembentuk yang sejati dengan memberikan teladan yang sewajarnya. Setiap bulan ibu bapa haruslah memaparkan kepada anak mereka bahawa mereka memang membuat simpanan wang di dalam bank yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam pemikiran anak mereka itu kelak. Kalau sejak kecil remaja sudah didedahkan dengan sikap ibu bapa merek sendiri yang suka menyimpan wang sudah pasti sikap yang positif ini akan terus tertanam dalam jiwa mereka. Sesungguhnya ayah borek anak rintik menjadi bukti bahawa teladan ibu bapa yang mampu mewujudkan tabiat suka menyimpan dalam jiwa remaja kita itu.

Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan sebegini mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak. Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit keistimewaan yang memberikan faedah tambahan seperti pemberian perlindungan insuran selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya. Jelaslah, pihak bank turut mempunyai peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini dengan merangka pakej simpanan yang mampu menarik minat masyarakat.

Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh menghulurkan bantuan dengan mewujudkan Kelab Menabung di sekolah. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar yang mampu untuk menyimpan dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi satu jumlah yang besar lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang membawa keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan sepenuhnya oleh pelajar lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit demi sedikit oleh pelajar itu. Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi kefahaman kepada pelajar akan kepentingan simpanan dengan penubuhan kelab sebegini di sekolah.

Konklusinya, semua tindakan yang dijelaskan itu berupaya untuk memupuk sikap suka menyimpan dalam diri masyarakat terutama golongan muda. Kerjasama semua pihak terutama pihak sekolah dan ibu bapa pula memberikan impak yang paling penting kerana remaja menghabiskan masa mereka di rumah dan sekolah. Jika amalan ini mampu dipupuk sudah pasti negara kita akan mempunyai satu aset simpanan wang yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana negara di dunia pun. Sememangnya menyimpan wang itu satu amalan murni kerana sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit.

Wednesday, June 15, 2011

Contoh Karangan : Isu Pengangkutan Awam

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita meliputi pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.
Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.
Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.
Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan. Contohnya, antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.
Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak tetapi rumit untuk diselesaikan. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, pihak kerajaan harus membuat tindakan drastik menangani isu ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas bagi mengatasi kemelut ini.

Contoh Karangan : Peranan Warga Tua

Di  Malaysia, orang tua mempunyai gelaran tertentu seperti warga emas atau golongan veteran.  Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.  Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.  Ini merupakan satu tanggapan yang salah.  Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.  
Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan.  Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban.  Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda haruslah menghargai jasa mereka selama ini.  Semua agama mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua.  Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.  Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini? Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara.  Golongan ini boleh terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang idea yang bernas berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Yang utama ialah semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan yang berguna kepada manusia di sekeliling kita.
Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh mencabar ini.  Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang jahat.  Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat.  Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.  
Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.  Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di kawasan kejirannannya ataupun seorang profesor boleh menulis artikel-artikel ilmiah yang bersesuaian dengan bidangnya agar tulisan beliau itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum.  Bukan itu sahaja, bekas-bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya.  Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk mendapatkan sedikit pulangan.  Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. 
Sesungguhnya, warga tua lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka. Walaupun sumbangan yang diberikan itu kelihatannya kecil, golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Hal ini kerana sumbangan yang diberikan itu akan mempunyai impak yang besar pada kemudian hari.  Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah warga tua yang berpendapat bahawa masa tua ini adalah masa untuk mereka berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak.  Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana sikap tersebut akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara. 
Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah ‘sakit’.  Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian.  Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan juga adalah amat digalakkan.  Mereka harus prihatin dengan apa yang dimakan kerana sesuatu yang dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran seseorang.  Dalam masa yang sama, golongan warga emas ini perlulah sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.  
Kesimpulannya, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi.  Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini.  Walaupun meningkat usia, sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu kepada bangsa, agama dan negara.  Marilah kita bersedia mulai sekarang untuk menghadapi usia emas dengan penuh gemilang.

Contoh Karangan : Pencemaran Sungai

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid  melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.
Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka  diami adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.    
Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran,   Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam  Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun  kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun,  jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.  
Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Kalau  diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu  menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis.  Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi  menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.
Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang  ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.
Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap diteruskan.  Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya,  apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.
Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.

Contoh Karangan : Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.
Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.
Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.
Kempen antimerokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.
Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.

Contoh Karangan : Kasih Sayang Ibu Bapa Berkesan Mendidik Anak

Wujudkah ibu bapa yang tidak sayangkan anak ? Semestinya, semua ibu bapa sanggup berkorban demi kebahagiaan anak mereka. Tetapi, persoalannya adakah semua ibu bapa hari ini menyayangi anak dengan cara lebih tepat ? Dalam hal ini, ada ibu bapa sekarang melakukan kesilapan. Ada menganggap cara ibu bapa dulu mendidik anak tidak betul dan kolot, lalu terus menolak semua, sedangkan cara dulu tidak semua salah atau tidak sesuai lagi.
Ada pula beranggapan cara didikan ibu bapa dulu adalah betul, lalu terus menggunakan semua, sedangkan mungkin ada antaranya tidak sesuai dengan keadaan sekarang. Manakala, ada pula disebabkan ingin mencari cara kontemporari, lalu dengan mudah mengguna pakai cadangan dikemukakan buku atau penceramah, tanpa melakukan penelitian, tapisan atau kefahaman yang mendalam. Kebanyakan isu keibubapaan timbul dalam konteks hubungannya dengan anak yang berada pada usia remaja. Sesetengah remaja menunjukkan perlakuan sukar difahami dan tidak pernah dibayangkan ibu bapanya. Ada ketikanya remaja memilih pakaian dan muzik pelik, emosi berubah-ubah seperti keras dan pendiam, malah mungkin kurang menghormati ibu bapa. Lazimnya, ibu bapa diingatkan mengenali dan memahami psikologi anak remaja. Ibu bapa diberitahu bahawa remaja berada dalam zaman transisi dan bergelut untuk berpaut pada zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan yang bakal ditinggalkan sambil memasuki alam dewasa yang penuh tanda tanya. Orang tua dimaklumkan bahawa anak remaja sedang berada dalam paradoks. Tetapi, ibu bapa jarang diingatkan untuk mengenali dan memahami paradoks yang sedang berlaku dalam dirinya sendiri. Bahawa mereka sendiri mencari keseimbangan antara memberikan kasih sayang dan menetapkan sesuatu untuk anak remajanya.
Sebenarnya, kasih sayang ibu bapa yang ideal ialah memberikan anak remajanya keseimbangan antara kebebasan dan disiplin. Jika disiplin terlalu banyak dan ketat, remaja akan memberontak. Sebaliknya, jika terlalu banyak kebebasan, remaja dahagakan struktur tertentu dan mencarinya sendiri dengan cara belum tentu baik. Oleh itu, ibu bapa perlu membuat pelbagai keputusan mengenai anaknya, misalnya, daripada boleh atau tidak menonton televisyen, hinggalah kepada boleh atau tidak mempunyai teman lelaki atau perempuan. Semakin anaknya menginjak dewasa, maka keputusan itu semakin besar dan penting. Ada keputusan perlu dibuat setiap hari dan ada keputusan perlu dibuat pada tempoh tertentu.
Selain perlu mengenali dan memahami anak remajanya, ibu bapa harus mengenali dan memahami dirinya sendiri terlebih dulu. Umumnya, ahli psikologi merumuskan ada dua komponen utama dalam gaya keibubapaan. Yang pertama ialah ‘responsif’, iaitu sebanyak mana kebebasan diberikan, manakala kedua ialah ‘permintaan’, iaitu sebanyak mana disiplin atau hala tuju akan ditentukan. Dengan kata lain, ibu bapa berdepan dengan paradoks: antara kasih sayang dan kepemimpinan. Kasih sayang ialah responsifnya terhadap kehendak anak remajanya, manakala kepemimpinan pula ialah permintaannya terhadap keperluan masa depan anak remajanya. Pertembungan, dinamika dan keseimbangan antara kedua-dua komponen ini dapat menentukan gaya keibubapaan. Kebanyakan pengkaji membahagikan gaya keibubapaan kepada empat kategori, iaitu: autoritarian, autoritatif, permisif dan tidak terbabit. Ibu bapa yang autoritarian rendah responsifnya, tetapi amat tinggi permintaannya. Walaupun mereka pengasih dan penyayang, anak remajanya tidak merasainya. Kebebasan hampir tidak diberikan dan pendapat anak remaja jarang didengar. Sebaliknya, disiplin amat ketat, malahan cita-cita anak remaja ditentukan ibu bapa.
Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritarian berkemungkinan besar berjaya dalam peperiksaan dan kerjayanya, tetapi mungkin memiliki peribadi yang kaku, rendah harga diri dan terlalu bergantung kepada arahan pihak berkuasa. Ibu bapa yang autoritatif pula mempunyai keseimbangan antara responsif dan permintaan. Mereka akrab, komunikatif dan anak remaja digalakkan bersuara. Kasih sayang diberikan, ditunjukkan dan dirasai. Disiplin dan hala tuju ditentukan dan diterangkan rasionalnya. Remaja bebas menentukan cita-cita dengan ibu bapa memberikan panduan dan bimbingan.
Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritatif berkemungkinan besar akan sama kejayaannya, walaupun tidak lebih, dengan dibesarkan dalam suasana autoritarian. Bezanya golongan ini akan memiliki peribadi bersepadu, yakin, berdikari dan kreatif. Ibu bapa permisif mempunyai responsif amat tinggi, tetapi permintaan amat rendah.  Mereka banyak bertolak ansur, memberikan kebebasan dan hampir semua kehendak anak remajanya diturutkan. Gaya tidak terbabit pula hampir tiada permintaan, disiplin dan hala tuju, serta hampir memberikan kebebasan penuh. Malahan, ia lebih satu kecuaian keibubapaan.
Namun begitu,  gaya keibubapaan boleh dirosakkan dengan amat mudah, sekiranya ibu bapa tidak dapat mengawal perasaan marah. Jadi, ibu bapa perlu tahu cara menangani kemarahannya. Dalam hal ini, ada tiga persoalan penting iaitu: bila marah itu wajar, bila marah tidak diperlukan dan bila marah itu boleh menjadi masalah. Walaupun, mungkin sukar melahirkan seorang kaunselor profesional atau pra kaunselor dalam setiap keluarga,  program Satu Keluarga Satu Kaunselor tetap mempunyai potensi untuk melahirkan ibu bapa berilmu, berkemahiran dan seimbang dari segi memberikan kasih sayang dan kepemimpinan.

Contoh Karangan Ceramah : Isu Teknologi Maklumat

Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi teknologi maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi maklumat telah diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat, anda diminta memberikan ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks ceramah itu.
Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi media dalam bidang pendidikan.
Hadirin yang budiman,
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang ‘e-niaga’ atau ‘e-commerce,’ cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel!). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang mengkhabarkan seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel! Justeru, jelas bahawa perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek perniagaan.
Hadirin yang dimuliakan,
Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan multi media membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah” dengan negara-negara maju yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-bagai kaum. Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?
Hadirin sekalian,
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.
Hadirin yang dikasihi,
Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multi media yang boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.
Sekian, terima kasih.